Anak kecil yang mengalami demam sehingga suhu badannya melebihi 40 darjah Celsius berisiko tinggi menghidap sawan yang boleh memberi pelbagai implikasi dan yang paling ditakuti ialah kematian. Sawan demam biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 6 tahun apabila demam menjadi terlalu tinggi dan mengganggu aktiviti otak. Sawan bermaksud keadaan di mana kanak-kanak tidak sedarkan diri, mengalami kekejangan badan & kaki, mata hitam terbeliak ke atas, air liur meleleh dan pada tahap tertentu boleh terkencing, termuntah & terbuang air besar.
Sawan demam terbahagi kepada 2 iaitu demam biasa dan demam kompleks. Sawan demam biasa adalah singkat, hanya satu episod sawan setiap kali demam dan terjadi kurang daripada 15 minit. Manakala sawan demam kompleks adalah berpanjangan, lebih daripada 15 minit dan terjadi berulang-ulang di dalam satu episod demam.
Ketika anak diserang sawan, cuba jangan panik dan lihat jam bila serangan itu berlaku dan tamat kerana doktor perlu tahu berapa lama sawan itu berlaku.Longgarkan segala pakaian dan jangan ambil sudu atau bahan keras dan meletakkannya di dalam mulut kerana ia boleh menyebabkan luka teruk dalam mulut. Malah jangan beri anak minum air atau ubat ketika anak sawan. Baringkan anak mengiring ke kiri bagi mengelak muntah atau lendiran masuk ke paru-paru. Doktor akan memasukkan ubat RECTAL DIAZEPAM melalui dubur bagi mengelak sawan demam berulang atau berpanjangan.
Sumber: METRO AHAD 17.11.2013 & Perunding Paediatrik Kardiologi Pantai Hospital, KL Dr Azam Mohd Nor.
No comments:
Post a Comment